Tag Archives: ModelBaharu

Model Baharu Penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam 2016

Screen Shot 2016-07-18 at 12.32.21 AM

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM 2016

MEMPERKASA BAKAT NEGARA

MEMARTABATKAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

PUTRAJAYA, 5 APRIL 2016 – Pembangunan modal insan berasaskan pengetahuan, berdaya saing dan berdaya tahan adalah salah satu teras strategik Kerajaan ke arah pencapaian aspirasi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Sehubungan itu, Kerajaan komited kepada usaha pembangunan modal insan negara melalui program penajaan sebagai langkah yang menyokong pencapaian aspirasi tersebut.

Pada tahun ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneruskan pembiayaan program penajaan dengan peruntukan sebanyak RM1.65 bilion untuk menanggung pembiayaan seramai 49,060 pelajar sedia ada iaitu penajaan 41,324 pelajar dalam negara dan 7,736 pelajar di luar negara. Manakala peruntukan tambahan sebanyak RM160 juta lagi telah diluluskan di bawah Pengubahsuaian Bajet 2016 untuk membiayai penajaan pelajar baharu tahun 2016.

Dengan penyediaan peruntukan tersebut maka semua pelajar yangditaja dapat meneruskan pengajian dalam keadaan yang kondusif bagi membolehkan mereka menyempurnakan pengajian dengan jayanya. Ini akan memastikan negara dapat memperoleh bakat terbaik bagi memenuhi keperluan tenaga kerja Perkhidmatan Awam dan negara.

Umum memahami senario ekonomi hari ini disebabkan ketidaktentuan ekonomi di peringkat global. Oleh demikian, Kerajaan telah melaksanakan Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan pada 28 Januari 2016 dengan menetapkan pengurangan perbelanjaan sebanyak RM 9 bilion berikutan penurunan dalam kutipan hasil negara. Selaras dengan pengumuman tersebut, pihak JPA juga perlu melaksanakan langkah pengubahsuaian yang lebih strategik bagi mengoptimumkan peruntukan yang sedia ada serta mengambil kira kepentingan program pembangunan modal insan yang lebih holistik. Sebagai langkah memastikan negara mendapat pulangan dan manfaat yang optimum daripada pelaburan besar yang diperuntukkan bagi program penajaan, maka Kerajaan memperkenalkan model baharu penajaan oleh JPA mulai tahun 2016.

Model baharu penajaan dirangka berdasarkan empat teras utama iaitu:

i. Merit dan Inklusiviti;

ii. Fokus kepada Golongan B40, M40 dan Technical & Vocational Education and Training (TVET);

iii. Pembangunan Malaysia sebagai Hab Pendidikan; dan

iv. Pulangan Pelaburan.

Model baharu ini membolehkan penajaan dilaksanakan secara komprehensif merangkumi aspek merit dan kecemerlangan serta keperluan membantu golongan berpendapatan rendah dalam kategori B40 terutama dalam bidang Teknikal dan Vokasional. Di bawah model baharu ini juga, tumpuan akan diberikan kepada penajaan pelajar ke IPT dalam negara bagi menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau. Usaha ini juga akan dapat memartabatkan IPT tempatan dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang negara.

Dengan itu, Model Baharu Penajaan JPA akan dilaksanakan seperti

i. Program Penajaan Nasional

Penajaan kepada 20 pelajar terbaik SPM 2015 berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pelajar ditaja mengikuti program persediaan dalam Negara dan pengajian di peringkat Ijazah Pertama di universiti terkemuka dunia berdasarkan senarai QS World Ranking dan terhad kepada bidang-bidang yang ditetapkan oleh Kerajaan.

ii. Program Khas Kejuruteraan Jepun, Korea, Perancis dan Jerman

Penajaan kepada 200 pelajar cemerlang SPM 2015 yang berminat untuk mengikuti pengajian di peringkat Diploma/Ijazah Pertama dalam bidang Kejuruteraan di Negara Jepun, Korea, Perancis dan Jerman. Penajaan merangkumi kursus persediaan dalam Negara dan pengajian peringkat seterusnya di negara-negara berkenaan.

iii. Program Ijazah Dalam Negara

Penajaan kepada 7,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta dalam kategori Government Linked Company (GLC) iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Multimedia University (MMU) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

iv. Program Dermasiswa B40

Penajaan kepada 1,000 pelajar daripada keluarga dalam golongan B40 untuk mengikuti pengajian peringkat diploma di Politeknik, Universiti Awam, UNITEN dan MMU. Ia merupakan program baharu diperkenalkan dalam model baharu penajaan JPA 2016. Tumpuan diberikan kepada latihan TVET kerana ia telah dikenal pasti sebagai salah satu game changer di bawah RMKe-11. Program ini akan menjurus dalam bidang teknikal dan vokasional sebagai usaha kerajaan untuk merealisasikan pembangunan bakat yang mempunyai kemahiran tinggi bagi menampung keperluan pekerja mahir dalam pasaran kerja kelak.

v. Program Lepasan Bursary

Penajaan kepada 744 pelajar Program Bursary 2013/2014 (lepasan SPM tahun 2012/2013) di bawah Program Lepasan Bursary akan diteruskan bagi mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di IPT tempatan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

vi. Program Bursary

Penajaan kepada 250 pelajar lepasan SPM 2015 yang mendapat 9A+ dan ke atas. Pemilihan dibuat berdasarkan merit dan inklusiviti di kalangan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2015 (9A+ ke atas). Penajaan merangkumi program peringkat persediaan/Asasi dalam Negara dan seterusnya ke peringkat Ijazah Pertama di IPT tempatan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Bidang-bidang yang ditawarkan adalah di bawah kelompok Klinikal dan Kesihatan, Kejuruteraan dan Teknologi, Sains dan Sains Sosial.

Program Bursary yang sebelum ini dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan akan dilaksanakan oleh JPA secara one off pada tahun 2016 sahaja. Program ini tidak akan diteruskan lagi mulai tahun 2017.

Sebagai langkah untuk memastikan pulangan yang setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan oleh Kerajaan, mulai tahun 2016 program penajaan akan dilaksanakan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah kecuali bagi Program Dermasiswa B40. Ia berteraskan prinsip pulangan pelaburan kepada negara (ROI) dalam memastikan Kerajaan akan memperoleh bakat yang terbaik untuk Perkhidmatan Awam. Di samping itu, prinsip ini berupaya mewujudkan sifat kebertanggungjawaban kepada negara.

Perjanjian pinjaman akan dikuatkuasakan mengikut empat keadaan seperti berikut:

(i) pinjaman akan ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian;

(ii) bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat milik Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian;

(iii) bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian; dan

(iv) bayaran balik keseluruhan pinjaman sekiranya pelajar bekerja di luar negara.

Secara keseluruhannya, Model Baharu Penajaan JPA 2016 dirangka bagi mencapai objektif pembangunan modal insan negara untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di IPT tempatan serta memfokuskan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

Satu sesi taklimat khas bersama pelajar Program Bursary tahun 2013 / 2014 / 2015 akan diadakan pada masa terdekat. Pelajar yang terlibat perlu merujuk kepada portal http://esilav2.jpa.gov.my atau menghubungi talian 03 88853603 / 3777 / 3398 untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan sesi taklimat tersebut.

Jabatan Perkhidmatan Awam

05 APRIL 2016